Ramai yang tidak tahu pasal Hukum Tarikan? Apakah Hukum Tarikan ni? Tarik apa? Itulah persoalan yang ada dalam minda seseorang yang tidak faham tentangnya. Hukum ini lebih dikenali sebagai Law of Attraction.
Para saintis telah membuktikan kewujudan hukum ini secara saintifik. Dan ia telah dihebahkan oleh Rhonda Byrne dalam buku dan movie ‘The Secret’ ke seluruh dunia. Rahsia hukum tarikan ini telah dibongkarkan kepada umum. Namun masih ramai lagi yang tidak tahu mengenainya dan mungkin tidak mahu ambil tahu kerana tiada kepentingan atau mungkin ianya dianggap karut. Pada hakikatnya, ia benar-benar berlaku dalam kehidupan seharian kita, tidak kira di mana anda berada di atas muka bumi ini.
Hukum tarikan adalah salah satu daripada hukum alam yang sentiasa bertindak setiap masa seperti hukum graviti. Kita tidak perlu tahu dengan terperinci tentang hukum graviti di mana semua benda mempunyai berat dan ditarik ke arah pusat bumi. Begitu juga dengan hukum tarikan di mana ia bertindak hasil daripada pemikiran dan emosi/perasaan manusia. Walau apa pun, semuanya berlaku atas keizinan yang Maha Esa.
Dalam Islam, sesiapa yang berbuat baik akan dibalas dengan kebaikan manakala sesiapa yang berbuat jahat, akan dibalas dengan kejahatan. Ini menunjukkan bahawa hukum tarikan bertepatan dengan ajaran Islam. Ia dapat dijelaskan lagi seperti yang termaktub di dalam Al-Quran;
“Maka sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.” –(Surah az-Zalzalah ayat 7-8)
Ayat di atas menambah keyakinan kita yang hukum tarikan wujud sejak Quran diwahyukan kepada Nabi Muhammad S.A.W. Hayatilah ayat ini… kebaikan dibalas dengan kebaikan; kejahatan dibalas dengan kejahatan. Allah mengingatkan kita supaya sentiasa berfikiran positif (kebaikan) dan memancarkan kebaikan itu kepada orang di sekeliling kita. Akibatnya, orang di sekeliling kita ataupun alam semesta memberi pula kebaikannya kepada kita.
Allah sentiasa menggalakkan kita supaya berlumba-lumba menabur kebaikan. Allah melarang kita berbuat kekasaran dan kerosakan. Malah, kita juga perlu bersikap baik kepada orang yang berbuat jahat. Dalam setiap detik kehidupan, kita disuruh memancarkan cahaya kebaikan dan getaran kebajikan ke alam semesta.
Dalam konsep hukum tarikan, kita menarik apa sahaja yang kita fokuskan samada ia positif atau negatif. Hukum alam tidak mendiskriminasi, ia hanya bertindakbalas kepada anda.
Perlu diingatkan bahawa apa yang anda fikir itu yang akan berlaku, kawal pemikiran dalam minda anda. Pemikiran adalah seperti benih dalam kebun. Anda harus menanam benih positif dalam kebun anda dan menyiramnya dengan getaran yang baik. Ini akan membawa kepada manifestasi yang lebih cepat apabila menggunakan Hukum Tarikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan